Siapa yang mempunyai rumah pusaka yang telah ditinggalkan oleh orang tua kita? Alangkah baiknya jika rumah itu sentiasa dijaga dan dibaikpulih walaupun tiada yang menetap di situ. Contohi seorang lelaki ini yang dikenali dengan nama Farziehan Surf di Facebook yang telah membaikpulih dan mengubahsuai sebuah rumah pusaka milik arwah ibunya yang sudah 10 tahun ditinggalkan selepas semua adik-beradiknya seramai 6 orang mempunyai tempat tinggal masing-masing.
Oleh kerana memori dan nilai sentimental yang terdapat pada rumah ini, Farziehan membuat keputusan untuk membaikpulih rumah tersebut untuk dijadikan sebagai tempat berkumpul dia dan adik-beradiknya. Farziehan mengambil masa selama hampir 3 bulan untuk mengubahsuai dan mendekorasi rumah ini secara sendiri kepada konsep pilihannya iaitu moden klasik. Konsep moden yang digabung dengan unsur klasik seperti kayu, fabrik, bunga-bungaan dan daun-daun hijau telah menonjolkan aura kemewahan dalam rumah ini. Dengan kos keseluruhan baikpulih dan deko rumah sebanyak RM 140K, Farziehan berjaya ‘menghidupkan’ kembali rumah ini setelah begitu lama ditinggalkan.
Menyentuh tentang konsep, Farziehan banyak merujuk kepada sumber-sumber dan gambar-gambar interior design di Internet. Dia juga berpesan agar tidak terburu-buru dalam membeli barangan untuk rumah tanpa menetapkan konsep terlebih dahulu. Hal ini kerana, ia akan menyebabkan suasana rumah menjadi caca-marba disebabkan tiada perancangan konsep yang ditetapkan.
Perabot-perabot di rumah ini kebanyakannya daripada SSF dan IKEA.
Nasihatnya lagi, dekorasi memerlukan kesabaran kerana perlu mengikut konsep yang kita tetapkan. Dengan adanya konsep, rumah akan menjadi lebih teratur dan tenang untuk dipandang.
Kredit: Farziehan Surf